Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput yang sedang menjalankan Op Khas Lalu Lintas pada pukul 8.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, tangkapan terhadap suspek ekoran pihak polis mendapati kereta jenis Toyota Wish yang dipandunya menggunakan lampu jenis 'beacon' yang mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan terhadap pemandu menjumpai sepucuk pistol tersebut di pinggangnya bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta lelaki itu juga menemukan beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup dan 18 butir lagi peluru hidup.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif suspek memiliki senjata api tersebut," katanya.

Ujar beliau, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru. - UTUSAN ONLINE