ARIFF HUZAYR MOHAMED NOR ARIF, 17, kelihatan sebak sewaktu menunggu di pekarangan rumah mayat PPUM bagi menuntut jenazah ibunya, Suraiza Hamzah yang mati dibunuh di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata, mangsa, Suraiza Hamzah, 46, dijumpai terbaring di ruang tamu oleh anak mangsa berusia 17 tahun semasa pulang ke rumah.

“Mangsa bekerja sebagai juruaudit sebuah syarikat penerbangan dikatakan bergaduh dengan suaminya sebelum kejadian.

“Motif pergaduhan disyaki akibat rasa cemburu suami mangsa yang mengesyaki wanita itu menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Laporan awal mendapati punca kematian disebabkan oleh kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrul Othman, suspek juga dipercayai mempunyai masalah mental dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan,

“Suspek telah ditahan oleh anggota peronda dari Balai Taman Tun Dr. Ismail selepas beberapa jam kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Ramli Ismail, 63, yang menetap di kawasan itu lebih lima tahun berkata, keluarga Allahyarham Suraiza, 46, jarang bergaul dengan masyarakat sekeliling.

“Kalau mereka ada di rumah pun cuma duduk di dalam rumah dan tidak keluar dan kalau keluar untuk kerja dan membeli-belah.

“Sejak kebelakangan ini, saya melihat hanya mangsa yang keluar untuk bekerja dan apabila bertanya mengenai suaminya dia berkata suaminya ada di dalam rumah,” katanya.