Peguamnya, Syed Amirul Syed Edros berkata, Jufazli, 30, dibebaskan semalam setelah direman selama lima hari namun ditahan semula berhubung sebuah lagi video siaran langsung Facebook ketika pihak polis menahannya di Cheras di sini pada pukul 3 pagi pada 16 Mac lalu.

“Pihak majistret membenarkan reman selama sehari bermula hari ini sehingga tengah hari esok bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Turut hadir ialah anggota keluarga Jufazli.

Syed Amirul memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, polis menahan bekas anggota DAP dari Sabah itu berhubung video siaran langsung menerusi Facebook yang dipercayai mengutuk Perdana Menteri.

Dalam beberapa rakaman video siaran langsung Facebook itu, Jufazli dilihat menuduh Mahathir melakukan pelbagai jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan membuat pakatan sulit dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Malah, Jufazli turut merakam video secara langsung dalam Facebook berdurasi hampir sejam ketika pihak polis tiba di rumahnya yang dilihat lebih 800,000 tonton serta menerima 50,000 komen dan dikongsi 10,518 kali.

Jufazli direman selama lima hari dan dibebaskan semalam namun ditahan semula perkarangan IPD Dang Wangi. - UTUSAN ONLINE