Noor Rashid Ibrahim

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, walaupun pihaknya telah mengenal pasti lebih 20 dalang kegiatan tersebut namun bukti yang kukuh serta maklumat mencukupi perlu dikumpul.

“Selepas mendapatkan maklumat daripada empat saksi tersebut, barulah kita akan buka kertas siasatan serta ke fasa seterusnya.

“Kita tidak boleh dedahkan siapa saksi yang diambil keterangan, ini demi keselamatan mereka. Yang pasti selepas semua bukti mencukupi, dalang-dalang judi haram akan diberkas secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan lebih 20 dalang judi haram termasuk judi atas talian dikenal pasti polis di Lembah Klang dan beberapa negeri lain akan ditangkap dan didakwa.

Antaranya, 10 dalang judi di Selangor dan 10 lagi di Kuala Lumpur serta sejumlah lagi di beberapa negeri lain.

Bagaimanapun, pihak polis sedang mengumpul maklumat serta bukti yang kukuh dan tepat termasuk bantuan pakar dalam risikan, selok-belok perjudian dan siber sebelum mengambil tindakan tersebut.

Malah, pihak polis turut mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang negara termasuk Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2013 (POCA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).