Tidak keterlaluan kalau dikatakan usaha tersebut seperti tidak memberi apa-apa kesan kerana sindiket tersebut dikesan kembali beroperasi walaupun berjaya dibendung namun hanya untuk seketika sahaja.

Sekejap buka, sekejap tutup. Persoalannya, apakah tahap keseriusan pihak berkuasa untuk membendung kegiatan tersebut tidak mencukupi atau sememang­nya tauke dan sindiket berkenaan benar-benar degil, kebal dan tidak serik daripada dikenakan tindakan undang-undang?

Selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi menyatakan komitmennya dalam memerangi kegiatan dan sindiket tersebut habis-habisan pada tahun lalu, usa­ha tersebut kelihatan membuahkan hasil.

Premis-premis yang disyaki menawarkan aktiviti haram tersebut diserbu manakala pengusaha dan mereka yang terbabit dengan sindiket berkenaan diburu dan ditangkap. Kegiatan judi haram lumpuh dan banyak premis terbabit menutup operasi mereka.

Gerakan besar-besaran itu turut menyaksikan beberapa tauke besar ditahan dan ada dalam kala­ngan mereka terpaksa melarikan diri ke luar negara. Operator-ope­rator sindiket hilang pendapatan mereka yang dianggar mencecah jutaan ringgit sebulan.

Namun perkembangan terkini amat mengecewakan apabila hasil tinjauan Mingguan Malaysia mendapati beberapa premis judi haram khususnya di sekitar Selangor sudah mula kembali beroperasi.

Ironinya, mereka kini lebih berani dengan membuka operasi perjudian secara terbuka tanpa rasa bimbang diserbu pihak berkuasa, terutama sejak peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menurut sumber, pusat-pusat judi haram yang telah dihentikan operasinya sebelum ini, kini beroperasi dengan lebih agresif dan hampir 200 lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan ter­utamanya di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua premis berkenaan beroperasi di bawah lesen pusat hiburan keluarga dan secara pasti aktiviti yang ditawarkan mereka melanggari syarat lesen itu,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan an­ta­ra empat hingga lima sindiket perjudian menerima agihan lesen tersebut dengan sindiket terbesar memiliki sehingga 65 lesen.

“Sindiket sanggup buat apa sahaja untuk memastikan mereka dapat beroperasi kembali. Apa tidaknya, setiap pusat perjudian haram tersebut mampu mengutip antara RM2.5 juta hingga RM13 juta sebulan,” katanya.

Sumber itu berkata, bagi memaksimumkan keuntungan, ope­rator-operator judi terbabit kini lebih berani dengan membuka premis mereka 24 jam.