Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, tangkapan tersebut melibatkan operator loteri haram dan isian semula (reload) judi siber.


Katanya, serbuan itu dijalankan pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah-daerah.


“Mereka ditangkap terdiri daripada 34 lelaki dan 16 perempuan berusia 15 hingga 49 tahun termasuk lima warga asing.


“Hasil 32 serbuan loteri haram itu, polis berjaya menangkap 36 individu dan merampas wang tunai sebanyak RM8,049 bersama peralatan berkaitan seperti telefon bimbit dan slip taruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, empat serbuan juga dilakukan di kaunter yang menawarkan khidmat isian semula judi siber di Kuching, Padawan, Bintulu dan Matu Dato.


Katanya, seramai 14 individu ditahan dengan 14 telefon bimbit dan tablet yang digunakan bersama wang tunai berjumlah RM2,841 dirampas.


Tambahnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.-UTUSAN ONLINE