Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, operasi terus dipertingkatkan bagi membanteras semua kegiatan judi tanpa lesen terutama agen jualan tiket loteri haram.

Katanya, operasi dijalankan bermula 10 April lalu hingga semalam yang mana kebanyakan serbuan ditumpukan sekitar daerah Kuching dan Padawan.

“Hasil serbuan, polis memberkas 29 individu dan merampas wang tunai berjumlah RM4,338, telefon bimbit, pencetak mobil, kalkulator dan alat tulis yang digunakan untuk menjalankan aktiviti haram tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara serbuan tersebut ialah membabitkan kaki lima di sebuah kedai kopi di Kuching yang mana membawa kepada penangkapan enam orang dan rampasan telefon bimbit, jadual lumba kuda dan slip pertaruhan.

Tambahnya, empat lagi serbuan melibatkan judi siber di Miri dengan 11 orang ditangkap dan 52 komputer dirampas.

“Kesemua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE