pistol tiruan

Hasil penelitian S2 mendapati pelbagai jenis senjata termasuk senapang, pistol, semi automatik dan automatik tiruan boleh dibeli dengan harga daripada RM500 hingga RM3,500.

Sepucuk pistol jenis Walther CP99 dijual dengan harga RM1,500 termasuk kompresor gas karbon dioksida (CO2) dan juga sekotak peluru kaliber .177 membuatkan ia menjadi semakin popular dalam kalangan peminat senjata api.

Walaupun tidak dikategorikan sebagai senjata api, namun rekaan dan rupa bentuknya yang menyerupai pistol sebenar membuatkan sesiapa sahaja akan menganggapnya adalah senjata sebenar.

Namun wajar diingatkan bahawa pemilikan dan penggunaan pistol tiruan boleh disabitkan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dengan hukuman penjara tidak melebihi setahun dan denda tidak melebihi RM1,000.

Apa yang membimbangkan, senjata itu turut digunakan bagi tujuan jenayah seperti samun, merompak, pecah rumah dan lain-lain lagi yang akan mengundang peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Dalam laman sosial Facebook terdapat pelbagai akaun menawarkan jualan senjata tiruan termasuk dari Malaysia yang turut menjual pistol menggunakan gas karbon dioksida dan juga menggunakan peluru plastik atau pun jel.

Lebih mengejutkan, alat ganti dan bahagian lain seperti laras, tabung gas CO2, peluru dan sebagainya turut boleh didapati melalui laman membeli belah dalam talian popular.

Menurut sumber, senjata tersebut yang lebih dikenali sebagai bb gun atau airsoft sport gun pada awalnya banyak dibawa masuk melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Harga yang ditawarkan di Thailand adalah jauh lebih murah berbanding di Malaysia mungkin disebabkan oleh risiko dan sebagainya yang perlu ditanggung oleh penjual.

Namun kini, sesiapa sahaja boleh membelinya melalui laman Instagram, Facebook, Mudah, WhatsApp, WeChat dan pelbagai lagi rangkaian media sosial.

“Rupa bentuk yang hampir sama dengan pistol betuk dikhuatiri disalah guna oleh sesetengah pihak untuk tujuan jenayah selain mampu untuk mencederakan orang lain,” katanya.