Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan berkata, kesemua kenderaan disita itu memiliki nombor casis dan nombor pendaftaran palsu yang disyaki telah diklonkan.

"Pada tahun 2015, sebanyak 18 buah kenderaan disita, tahun berikutnya meningkat kepada 56 buah kenderaan manakala sehingga bulan Mei tahun ini melibatkan sebanyak lapan buah kereta.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan selidik dahulu jika harga kereta mewah yang ditawarkan adalah rendah. Jika ada kemusykilan boleh rujuk JPJ," katanya kepada pemberita semasa program lelongan awam kenderaan di sini hari ini.

Azrin berkata, pengguna yang membeli kenderaan klon boleh disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memiliki kenderaan tidak didaftarkan dan berdepan denda sehingga RM10,000.

Sementara itu, dalam majlis lelongan awam tersebut, sebanyak 50 buah motosikal pelbagai jenis yang disita dalam operasi JPJ di negeri ini dilelong pada harga antara RM50 hingga RM1,500. - UTUSAN ONLINE