Kim Jong-nam

Memetik pendedahan akhbar The Guardian dalam satu temu bual bersama rakan baik Jong-nam semasa bersekolah, Anthony Sahakian menceritakan tentang pandangan terbuka dan personaliti yang membawa kepada keputusan beliau hidup dalam buangan dan mungkin juga kematiannya.

Menurut Sahakian, 44, dalam beberapa siri kunjungan Jong-nam ke Geneva, Switzerland dan terakhir beberapa bulan lalu, Jong-nam yang dikenalinya sebagai Lee ada bercerita mengenai Jong-un mungkin melihatnya sebagai ancaman kepada pemerintahan kuku besi yang diwarisi daripada bapa mereka, Kim Jong-il.

“Kami ada membincangkan tentang rejim diketuai adiknya dan perkara yang berlaku di republik itu. Satu perkara yang boleh saya katakan, beliau tidak berminat untuk berkuasa.

“Beliau mahu keluar dan tidak pernah mengimpikan untuk memerintah negara itu, malah Lee (Jong-nam) tidak menerima atau menghargai apa yang terjadi di sana dan memastikan hubungannya dengan rejim kekal jauh,” katanya.

Sahakian memberitahu, berdasarkan perbualan mereka, dapat dirumuskan bahawa Lee ber­anggapan jangka hayatnya tidak akan lama sepanjang pemerintah­an enam tahun adiknya.

“Beliau amat takut dan paranoia. Secara politik, Lee merupakan individu penting dan beliau amat bimbang dan sudah tentu beliau bimbang,” jelasnya.

Bagaimanapun, masih tidak jelas mengapa Jong-nam yang merupakan waris pertama dike­tepikan daripada pemerintahan Pyongyang.

Ibu saudaranya pernah menerbitkan memoir menyatakan Jong-il amat menyayangi anak lelaki sulungnya itu dengan menggelarnya sebagai baby.

Bagaimanapun datuk Jong-nam, Kim Il-sung, yang juga pe­ngasas Korea Utara moden tidak merestui hubungan luar nikah antara Kim Jong-il dengan ibunya, seorang pelakon filem tempatan.