Pengarahnya, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Soon Kiang, Jalan Kolam di sini, pada pukul 3.15 petang 13 Ogos lalu, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan menemukan wang tunai RM100,600 dipercayai hasil aktiviti haram itu.

Menurut beliau, suspek berusia 43 tahun itu merupakan dalang utama yang menyeludup barang-barang tersebut bagi pasaran tempatan.

“Berpandukan risikan selama seminggu dengan mengekori gerak-geri suspek, akhirnya berjaya membongkar kegiatannya yang menyimpan kesemua barang penyeludupan di dalam kediaman terbabit.

“Difahamkan suspek yang menetap di kediaman itu telah menggunakan rumah tersebut sebagai stor simpanan dan cuba menyembunyikannya daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Wanita di sini hari ini.

Janathan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kesemua barang rampasan terbabit adalah untuk memenuhi pasaran tempatan di sekitar daerah ini.

Katanya, selain merampas pelbagai jenama rokok dan minuman keras, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan Toyota Vellfire dan Toyota Innova.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang belum lulus kastam dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613). - UTUSAN ONLINE