Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, rampasan tersebut hasil operasi bersepadu dan risikan yang dijalankan sepanjang Oktober lalu hingga awal bulan ini.

Katanya, barangan dirampas yang dipercayai dibawa masuk dari China diikrarkan sebagai barang dagangan seperti peralatan rumah yang mana ada disusun bersama barangan import lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bagi operasi di Pelabuhan Rejang, Sibu, nilai dan cukai barangan dirampas dianggarkan RM21.07 juta manakala jumlah cukai dan nilai barangan kes yang berjaya diselamatkan RM6.7 juta

“Kita membongkar lapan kontena yang menyeludup barangan berkenaan. Sebanyak 51,192 liter arak disembunyikan dalam lima kontena membabitkan nilai cukai RM6.52 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Intan, JKDM Sibu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain itu, dua kontena me­ngandungi 103,650 karton rokok putih pelbagai jenama membabitkan nilai RM14.2 juta manakala satu kontena lagi mengan­dungi mercun dengan nilai cukai RM265,000 turut dirampas.

“Dalam operasi di Sarikei yang dijalankan pada 30 Oktober, 23 November, 30 November dan 13 Disember lalu, kita berjaya mematahkan cubaan menyeludup barangan berkenaan dalam tiga kontena dianggarkan bernilai RM6.77 juta di Pelabuhan Tanjung Manis.

“Semua barangan ini disita mengikut Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa permit import sah dan adalah barangan yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepada hampir 3,000 syarikat ejen penghantaran dan perkapalan agar mengenali pe­langgan mereka dan tidak terlibat dengan penyeludupan barangan.

Jelasnya, kastam sedang menjalankan penyiasatan ke atas ejen perkapalan dan penghantaran mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Dalam kes di Sibu dan Sarikei ini, sebanyak tiga buah syarikat penghantaran bakal digantung lesennya berdasarkan sistem dimerit yang dilaksanakan sejak April lalu,” ujarnya.