Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST), Datuk Zulkifli Yahya berkata, inisiatif yang akan bermula di kawasan Lembah Klang itu adalah langkah melaksanakan projek rintis bagi mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar GST.

“Dongle tersebut akan dipasang pada mesin daftar tunai yang membolehkan setiap transaksi direkodkan setiap kali peniaga memasukkan daftar tunai yang dihubungkan dengan simpanan data kita.

“Maka kita akan tahu sama ada transaksi GST dibuat atau tidak. Jadi pemasangan peranti ini akan dapat membantu kita kesan jika ada peniaga yang cuba mengelak daripada membayar GST kepada kerajaan,” katanya selepas melancarkan Operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3.0 (Ops CBOS 3.0) peringkat negeri di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, mekanisme itu membolehkan pihaknya mengetahui masa sebenar pu­ngutan, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan peniaga dalam menyerahkan penyata taksiran pertama (penyata GST-03) serta serahan resit kepada pengguna.

“Syarikat yang terlibat de­ngan projek rintis ini masih belum diputuskan, tetapi kemungkinan peranti tersebut akan dipasang di kedai yang menjalankan industri runcit.

“Pada peringkat awal ini, kita akan pasang peranti tersebut dalam tempoh tiga bulan untuk melihat keberkesanannya sebelum memutuskan pemasangan secara kekal, namun bergantung kepada dana daripada Kementerian Kewangan,’’ katanya.

Jelas beliau, ini berikutan, pelaksanaan sistem tersebut masih di peringkat cadangan dan kerajaan belum memutuskannya lagi.