Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pasukan Kolaborasi Pengurusan Sempadan (CBM) Bukit Kayu Hitam telah berjaya menahan sebuah lori kontena bernombor pendaftaran Malaysia yang membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit seberat 20,755 kilogram.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, mercun dan bunga api yang diseludup masuk dari Thailand itu dipercayai untuk pasaran tempatan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

“Pihak CBM memantau pergerakan lori tersebut menerusi CCTV (kamera litar tertutup) dan gelagat pemandunya agak mencurigakan disamping imej imbasan didapati meragukan.

“Carian dalam sistem kita juga mendapati barangan tersebut belum lagi diikrar. Pemeriksaan rapi menemukan 1,122 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan pemandu lori ditahan reman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. - UTUSAN ONLINE