Seludup senjata
 

Menurut jiran yang enggan dikenali itu, dia langsung tidak menduga pemuda berusia 20 tahun yang dilihat baik malah menghormati orang tua sanggup berbuat demikian.

Katanya, dia amat terkejut selepas mendapat tahu tentang penahanan suspek daripada anaknya setelah laporan mengenai suspek tersiar dalam media termasuk media sosial.

“Kali terakhir saya berjum­panya ketika kenduri kahwin pada 10 Disember lalu. Dia memang yang bersopan-santun dan baik.

“Tiada apa yang pelik, pemuda ini yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik sedang belajar difahamkan mengambil jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta di bandar ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tangkapan warga Malaysia yang berasal dari Sarawak itu dan siasatan awal mengesyaki suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Dalam pada itu, jiran terbabit memaklumkan, pemuda tersebut juga difahamkan tidak pernah ke luar negara, agak pendiam dan tidak bergaul dengan rakan sebaya di kawasan perumahan ini.

Menurutnya lagi, ibu dan bapa pemuda itu juga bercerai baru-baru ini manakala suspek kini tinggal bersama bapanya di sini.

“Dia kelihatan seperti pelajar biasa dan berpakaian kemas. Tidak tahu pula saya jika dia ada terlibat dengan kumpulan pengganas,” jelasnya.

Tambahnya, petang semalam pihak polis hadir ke rumah suspek namun bapanya telah keluar lebih awal dan sehingga kini masih belum pulang.