Bagaimanapun pihak polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berkenaan malam tadi selepas menerima laporan daripada salah seorang penduduk di kawasan berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, kanak-kanak tersebut ditinggalkan seorang diri dalam keadaan rumah berkunci selain tidak diberi makan.

Kanak-kanak itu bernasib baik apabila jiran-jiran yang menyedari perkara itu sempat memberikannya makanan yang dihulurkan melalui tingkap di rumah tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, susulan daripada itu, pihaknya telah menahan seorang wanita berumur 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan.

“Difahamkan ibu bapa kepada kanak-kanak itu sudah bercerai dan wanita tersebut meninggalkan anakya seorang diri dengan mengunci pintu rumah tanpa meninggalkan makanan.

“Jiran yang terdengar kanak-kanak itu menangis cuba memujuknya sejak Rabu lalu dan memberinya makan setiap hari melalui tingkap rumah berkenaan.

“Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini, penduduk melaporkan perkara tersebut kepada polis bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Noor Mushar, ketika tiba di rumah berkenaan, anggota polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan berikutan pintu geriji di kediaman tersebut dikunci.

Katanya, kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini bagi menerima rawatan.

“Kanak-kanak itu diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.- UTUSAN ONLINE