Menurut portal South China Morning Post, lelaki itu berkemungkinan meninggalkan wilayah tersebut menaiki kereta atau jet peribadi.

Bagaimanapun sumber keselamatan di Macau tidak memberi pengesahan kepada portal tersebut mengenai perkara itu.

Dalam sidang akhbarnya hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya mendapat maklumat Jho Low telah meninggalkan Macau melalui e-mel yang dihantar pihak berkuasa wilayah tersebut dua hari lalu.

“Kita harap negara-negara lain yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya supaya tindakan segera dapat diambil. Kita juga telah mengeluarkan notis merah kepada Interpol pada Jun lalu dan saya rasa itu memadai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perasmian Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-211 di Bukit Aman hari ini yang turut dihadiri oleh timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jho Low bersama rombongannya pernah menginap di beberapa bilik di Pacific Place Apartments, Hong Kong di tingkat 32, 34 dan 36 di apartmen tersebut selama beberapa bulan.

Bagaimanapun dia dilaporkan telah meninggalkan Hong Kong dan pergi ke Macau.

PDRM kemudian memaklumkan sedang menunggu isyarat polis Macau untuk menangkap ahli perniagaan yang dikehendaki dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah dia dikatakan ada di wilayah tersebut. - UTUSAN ONLINE