Suasana sayu menyelubungi kira-kira 200 orang termasuk sanak-saudara yang hadir pengebumian tersebut iaitu sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang pada pukul 7.20 petang.


Terdahulu, jenazah kanak-kanak malang itu dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, di sini, setelah selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.


jenazah
Ahli keluarga menenangkan Idris Saad (tengah) sejurus jenazah anaknya tiba untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Yan malam ini.. - UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Kedua-dua jenazah itu kemudian dibawa ke Masjid Abdul Rahman Putra Al-Haj di pekan Yan untuk solat jenazah sebelum dikebumikan.


Ibu bapa mangsa, Idris Saad, 47, dan Noorhasyelawati Yusoff, 37, kelihatan tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak ketika jenazah anak-anak mereka dikebumikan.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz maut di bilik tidur mereka selepas ditetak dan dikelar seorang lelaki yang juga kenalan bapa mereka.


Suspek kemudian berjaya diberkas tidak lama selepas kejadian dan polis turut menemukan dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek ketika menyerang kanak-kanak itu serta bapa saudara mereka. 


Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan suspek yang berumur 49 tahun dan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dadah kini direman selama seminggu sehingga 15 Januari ini. - UTUSAN ONLINE