Imam masjid berkenaan, Solahuddin Ishak memberitahu, bayi itu ditemukan oleh salah seorang jemaah berhampiran pintu pagar masjid kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Ketika mahu membuka pintu pagar masjid, jemaah itu ternampak bungkusan plastik hitam berdekatan situ. Menyangkakan plastik hitam itu berisi sampah, jemaah tersebut mengangkat plastik itu untuk dibuang ke dalam tong sampah.

"Namun dia berasa pelik apabila 'sampah' itu terasa agak berat. Apabila jemaah itu membuka bungkusan plastik untuk diperiksa, dia terkejut melihat kaki bayi tersebut terjulur dari bungkusan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, mayat tersebut didapati dibalut dengan kain batik sebelum diletakkan dalam plastik hitam.

"Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.15 pagi. Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan yang bayi tersebut sudah meninggal dunia melebihi tempoh 24 jam.

"Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat. Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat. - UTUSAN ONLINE