Janin yang dibalut dengan kain batik di dalam bungkusan beg kertas itu ditemukan seorang surirumah ketika wanita berkenaan dalam perjalanan ke majlis kenduri di kampung berdekatan kira-kira pukul 3 petang.

Nor Azura Husim, 34, berkata, curiga dengan bau busuk itu dia kemudian menyuruh anak perempuannya yang berusia 10 tahun untuk membuka bungkusan tersebut sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung.

Katanya, kehadiran bungkusan berwarna biru itu mulai disedari kira-kira pukul 8.30 pagi pada Rabu lalu, namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Semasa anak saya buka bungkusan itu, ia sudah berulat, kemudian saya panggil anak saudara pula untuk datang selak (bungkusan) sebelum kami nampak kulit kepala dan beritahu orang kampung lain.

"Bau busuk mulai kuat hari ini. Sebelum ini tiada apa-apa bau," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Suhaimi Ali yang dihubungi mengesahkan penemuan janin yang masih belum cukup sifat itu.

Katanya, mayat janin tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE