Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, ini susulan pihaknya telah mengesan penularan berita-berita palsu dalam pelbagai bentuk dan platform yang memanipulasikan isu pemindahan tapak Kuil Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, Selangor.

Ujarnya, berita palsu tersebut bukan sahaja membangkitkan kegusaran tahap melampau berhubung situasi keselamatan dalam negara malah mengguris sensitivi agama masyarakat majmuk.

"Antara mesej diaplikasi WhatsApp dan media sosial yang tersebar iaitu mengenai kumpulan gangster yang kononnya melakukan 'pukulan rambang' ke atas sesiapa sahaja yang berada di kawasan tersebut.

"Selain itu, pesanan suara yang meminta orang Melayu untuk bersiap sedia dengan senjata tajam sebagai persediaan menghadapi perhimpunan pada 8 Disember ini yang kononnya akan berlaku pertempuran tiga penjuru," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Sementara itu, Asmawati memberitahu, selain itu, pihaknya turut mendapati terdapat mesej WhatsApp yang mendakwa kononnya pihak Bukit Aman telah mengeluarkan amaran akan berlaku serangan rambang oleh beberapa kumpulan di sekitar Subang Jaya. Klang dan Jalan Klang Lama selepas pukul 9 malam.

"Turut tersebar iaitu perkongsian gambar-gambar yang telah dimanipulasi dengan tujuan membentuk persepsi bahawa wujud situasi ketidaktenteraman awam yang tidak terkawal di seluruh negara.

"Sehubungan itu, PDRM menjunjung tinggi hak kebebasan bersuara tetapi haruslah diingatkan bahawa hak dan kebebasan tersebut mempunyai batasannya serta tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan tersirat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE