Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Ang­kasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, taktik itu sudah lapuk serta tidak dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut beliau, sesiapa sahaja yang terlibat harus dikenakan tindakan undang-undang tegas tanpa mengira pangkat individu terbabit.

“Cukai yang perlu dibayar mungkin berjuta ringgit tetapi disebabkan nak elak, ada syarikat anjur ba­nyak program CSR yang sebenarnya hanya melibatkan pengeluaran kos lebih sedikit berbanding jumlah cukai yang perlu dilunaskan.

“Sampai bila nak guna taktik tersebut untuk mengelak tunaikan tanggungjawab kepada negara? Kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat namun generasi akan datang yang terkena tempias, terutamanya dalam aspek pembangunan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Dialog Perniagaan-Peluang Untuk Koperasi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Koperasi Co-opbank Persa­tuan, Mohd. Dzarfan Khalid.

Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan lebih ramai ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri akan disiasat dalam tempoh terdekat atas kesalahan mengelak cukai dan jenayah kewangan.

Difahamkan, mereka terdiri dari­pada ahli-ahli perniagaan terkemuka yang terlibat dalam pelbagai bidang dan industri termasuklah pembangunan hartanah, perbankan dan automobil.

Sementara itu, Abdul Fattah me­nyatakan kelegaan apabila menge­tahui laporan mengenai Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang ingin mengambil alih operasi Bank Rakyat adalah palsu.

Katanya, penafian oleh Bank Rakyat menggambarkan bahawa bank tersebut masih memperjuangkan agenda koperasi terutamanya untuk semua ahli di seluruh negara.