Dua suspek yang berusia 43 dan 34 tahun ditahan polis di Taman Angsana, Kulim ketika mereka sedang memandu kenderaan pada pukul 8.30 malam, manakala seorang lagi suspek ditahan di rumah sewa di Taman Jati, Kulim pada pukul 9.15 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah rumah yang berlaku di Kuala Lumpur, Kedah dan juga negeri ini.

"Suspek pertama yang berusia 43 tahun dipercayai menjadi perancang utama kumpulan pecah rumah berkenaan dan dia didapati mempunyai 36 rekod lampau membabitkan jenayah.

"Siasatan awal mendapati modus operandi geng ini ialah memecah masuk rumah orang kaya atau mewah dan menjalankan kegiatan berkenaan pada siang hari iaitu ketika pemiliknya keluar bekerja," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE