Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan terhadap beberapa premis kediaman dan perniagaan itu memberkas 25 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia serta Filipina selain seorang lelaki warga tempatan.

Kata beliau, rampasan yang dibuat termasuk 136 pasport palsu, 87 pelekat visa palsu pelbagai negara, 15 cop imigresen palsu pelbagai negara serta pelbagai peralatan pemalsuan dokumen.

“Dalang kepada sindiket ini adalah seorang warga Bangladesh yang berusia 50 tahun dan siasatan kita mendapati yang dia telah bekerjasama dengan warga tempatan untuk membuka pelbagai syarikat bagi mengaburi kegiatannya.

“Antara syarikat-syarikat itu termasuk syarikat pembekalan pekerja asing, syarikat pembinaan, syarikat pembersihan dan syarikat insurans,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE