Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata, program 6P telah pun berakhir pada tahun 2014, dan kerajaan tidak membuat keputusan untuk menggantikannya dengan program lain seperti 3P atau sebagainya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas terdapat banyak maklumat palsu mengenai program pemutihan yang diiklankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengenakan bayaran tertentu terhadap majikan.

"Pihak majikan dan agensi pekerjaan yang sah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan dan promosi program yang disebarkan secara berleluasa dalam media sosial," katanya.

Mustafa berkata, para majikan boleh merujuk kepada laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang sahih.- BERNAMA