Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Sharif berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan terhadap pencerobohan yang berlaku sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.


Beliau berkata, dua lot tanah milik kerajaan itu diceroboh oleh sebuah syarikat yang mendakwa diberi kelulusan oleh individu tertentu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui perjanjian pada 2015 dan struktur binaan mula dibina pada 2017.


“Kita mahu SPRM melakukan siasatan menyeluruh berkaitan kes ini kerana dipercayai berlaku penyelewangan dan salah guna kuasa oleh pihak atasan dalam DBKL dan kementerian semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.


“Kedua-dua lot tanah bernombor 568 dan 716 itu pada asalnya merupakan kawasan lapang yang menjadi tapak berniaga sebelum diceroboh untuk pembinaan sebuah bangunan pejabat dan gerai buah-buahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


Menurut Zulhazmi, antara dokumen yang diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk kronologi kes, laporan Jabatan Integriti DBKL serta laporan dan notis pemberitahuan mengosongkan tapak oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur.


“Adalah pelik bagaimana DBKL boleh meluluskan kebenaran merancang di atas tanah bukan milik syarikat yang membina atau atau pun milik DBKL. Kita merasakan ada pihak yang terlibat dalam proses ini mendapat imbuhan atau habuan tertentu,” katanya.- UTUSAN ONLINE