Wanita muda berusia 19 tahun itu juga terpaksa meninggalkan bayi pra matang yang baru dilahirkannya di Hospital Melaka untuk mengambil anak sulung mereka berumur tiga tahun yang bersama suaminya semasa ditahan.

Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohd. Zaki Hussin berkata, dalam operasi bermula pukul 9 malam itu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penarik beca itu ditahan ketika menunggang motosikal bersama anak perempuannya untuk ke stor beca berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut ujian air kencing terhadapnya mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemilihan) 1983 Pindaan 1998.

"Pihak kami kemudian meminta dia menghubungi keluarganya untuk datang ke lokasi operasi bagi mengambil kanak-kanak tersebut," katanya ketika ditemui selepas operasi, di sini malam tadi.

Jelas Mohd. Zaki, selain penarik beca itu, dua lagi lelaki masing-masing berusia 24 dan 26 tahun turut ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.  - UTUSAN ONLINE