Wanita tersebut dan beberapa anggota keluarganya yang duduk di galeri awam dilihat menangis apabila Laskar Kanan Mohd. Izhrifikri Roslee, 29, yang memakai baju lokap warna jingga hanya menganggukkan kepala beberapa kali tanda memahami dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Izhrifikri didakwa membunuh Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailaltuiman Mohd. Sukri, 26, kedua-dua­nya berpangkat Laskar Kelas 1 di antara pukul 10.30 pagi dan 3.20 petang, 29 September lalu di padang latihan (BTU) TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, dekat sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah daripada pengawal pusat tahanan itu memandangkan kedua-dua pertuduhan membunuh itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Ke­tua Unit Pendakwaan Perak, Yusaini Amer Abd. Karim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Peguam Zahil Mohd. Mess dan Farah Helmy pula hadir sebagai peguam pemerhati kepada keluarga Muhammad Lailaltuiman.

Sewaktu prosiding, Zahil memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tentera supaya kedua-dua keluarga mang­sa mendapat keadilan segera, namun Nur Syaqira menjelaskan, keputusan untuk menentukan perbicaraan kes tersebut bukan ditentukan oleh mahkamah sebaliknya dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah kemudian mene­tapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan.

Sementara itu, dua lagi Laskar Kanan TLDM, Hamzah [email protected], 35, dan Mohd. Farid Musa, 32, masing-masing mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan menyebabkan kecede­raan terhadap Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailaltuiman.

Hamzah didakwa atas dua pertuduhan mendatangkan kece­deraan kepada kedua-dua mangsa di laluan hadapan BTU kira-kira pukul 10.30 pagi, 29 September lalu.

Mohd. Farid pula berdepan dengan satu pertuduhan sama terhadap Nik Muhammad Baihaqy di pejabat pengawal bilik tahanan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Yusaini Amer mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Hamzah dan Mohd. Farid dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 30 Oktober ini.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing.

Difahamkan, selain ketiga-tiga tertuduh terbabit, beberapa lagi rakan sekerja mereka akan dihadapkan ke mahkamah sama pada Selasa ini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.