Perintah sambung reman yang dikeluarkan oleh Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman bermula itu esok sehingga 15 September ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek tersebut.

Pada masa sama, Pengurus PCSB dan bapa mertua bekas eksekutif PCSB dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM50,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin selepas SPRM berpuas hati dengan siasatan berhubung kes tuntutan invois palsu bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015 itu.

Bapa mertua bekas eksekutif PCSB yang berumur 65 tahun itu dibebaskan lebih awal daripada tempoh tamat remannya pada khamis ini.

Terdahulu pengarah syarikat, pembantu teknikal; pengurus PCSB dan bapa mertua bekas eksekutif PCSB itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari. 

Pada Selasa, pengarah syarikat ya g dilantik untuk melaksanakan projek tersebut bersama-sama pengurus dan bekas pembantu teknikal PCSB itu ditahan SPRM sebelum direman selama enam hari bermula pada 6 September.

Bapa mertua bekas eksekutif PCSB itu pula direman bermula Jumaat lalu bersama menantunya dan suami pengarah syarikat kontrakror dan tempoh reman kedua-dua mereka akan tamat pada Khamis ini.

Menurut sumber, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, invois palsu itu dikemukakan bagi kerja-kerja The Provision of Jack-up Drilling Rig Cosl Boss for PCSB Drilling Programme yang berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) dan tuntutan itu sudah dibayar oleh PCSB kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu. - UTUSAN ONLINE