Kesemua mereka berpangkat Inspektor, Lans Koperal dan Sarjan itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi.

Selain mereka, turut ditahan ialah empat lagi orang awam termasuk seorang kakitangan dari Bank Negara Malaysia yang ditahan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang, mangsa yang berada di pejabatnya di bangunan Cahaya Suria, Jalan Silang, di sini telah didatangi sembilan individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dan anggota polis Bukit Aman.

Ujarnya, kesemua suspek memaklumkan bahawa mangsa ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan tukaran mata wang asing tanpa lesen perniagaan.

“Mereka bagaimanapun, kemudiannya menawarkan penyelesaian kes dengan mengarahkan mangsa membayar RM200,000 sekiranya mahu dilepaskan.

“Selain itu, mereka juga dipercayai mengambil wang tunai sebanyak RM4,000 ketika berada di dalam bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, mangsa yang mahu perkara tersebut diselesaikan segera kemudiannya mengarahkan pemandunya mengambil wang dari rumahnya sebelum menyerahkan kepada suspek di hentian bas hadapan bangunan pusat beli-belah Kota Raya.

Jelasnya, berikutan kejadian itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum satu operasi mengesan semua suspek terbabit oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Kesemua suspek berusia 31 sehingga 41 tahun itu kini ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Pihak Polis Kuala Lumpur memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis serta orang awam yang terlibat dalam sebarang pelakuan jenayah. jika mereka didapati bersalah, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.