Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata langkah itu diambil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes itu, mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan.


"Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti identiti suspek berikutan penghuni apartmen tidak kenal suspek, selain dia bukan penghuni apartmen tersebut.


"Telefon bimbit yang ditemui di badan suspek juga diambil bagi menyiasat rekod panggilan serta rakan kenalan suspek berdasarkan senarai nombor panggilan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Omar berkata motif kejadian masih belum diketahui.


Anggota keluarga atau orang ramai yang mengenali suspek juga diminta tampil bagi membantu siasatan polis, katanya.

Sementara itu, Omar berkata kanak-kanak perempuan terbabit kini dalam keadaan stabil dan sudah boleh bercakap.

Katanya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.


Semalam, penghuni apartmen itu kecoh dan berada dalam keadaan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.


Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak itu dari tingkap dapur rumah tersebut.


Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan. 

Sementara itu, penghuni Apartmen Telipok Ria, melihat perlunya pengawal keselamatan ditempatkan di situ bagi mengoptimum tahap keselamatan setiap blok dan kawasan sekitarnya.


Rata-rata mereka masih lagi terkejut dan tidak menyangka insiden seumpama itu boleh berlaku.


Penghuni Hamid Umar, 51, berkata, pengawal keselamatan perlu ada di kawasan tersebut supaya dapat bertindak pantas melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku sebarang kecemasan.


Seorang lagi penghuni yang ditemui Bernama, Iskam Tia, 60, berkata apartmen itu juga perlu ada peraturan mengenai keselamatan kanak-kanak seperti menetapkan waktu mereka bermain memandangkan ketika ini ada segelintir kanak-kanak dan remaja di apartmen itu beraktiviti sehingga jam 11 malam.


Shila Abdullah, 55, yang mendiami apartmen itu sejak 2008 pula berkata, ibu bapa perlu bekerjasama memastikan keselamatan anak-anak dengan tidak membiarkan mereka berada di luar rumah bersendirian.


Linda Rahman, 31, berkata ibu bapa selepas ini perlu lebih berwaspada dan peka terhadap keselamatan anak-anak selain meningkatkan pemantauan dan tidak membiarkan anak-anak bermain sendirian di luar rumah.


Sementara itu, tinjauan Bernama di apartmen tersebut mendapati kawasan sekitar dalam keadaan aman dan penghuni menjalankan aktiviti harian seperti biasa.


Pemilik rumah yang menjadi lokasi insiden itu telah membersihkan ruangan dapur rumah tersebut yang berlumuran darah malam semalam selepas pihak polis mengeluarkan mayat suspek.- BERNAMA