Jakarta Pos melaporkan, jurucakap polis, Komander Argo Yuwono berkata, pihaknya ketika ini sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi meneliti pendedahan oleh sebuah agensi media Singapura tentang restoran itu.

“Kita perlu kenal pasti terlebih dahulu apa perniagaan mereka dan siapa pemiliknya. Terdapat peraturan-peraturan yang berlainan bagi perniagaan yang dimiliki oleh warga Indonesia dan yang dimiliki oleh warga asing,” katanya seperti dipetik portal tribunnews.com.

Sebelum ini, agensi berita Asia One mendedahkan ejen perisik Korea Utara telah beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak dua dekad lalu.

Menurut sumber perisikan, operasi mereka di negara itu dipercayai jaringan terbesar di luar Korea Utara dengan Malaysia dan Singapura menjadi pilihan utama Reconnaissance General Bureau (RGB).

RGB adalah agensi perisikan Korea Utara yang beroperasi secara rahsia di negara ini.

Untuk mengelak operasi mereka di Malaysia dan Singapura diketahui, ada kalangan ejen menyamar sebagai jurutera dan perunding teknikal dalam industri pembinaan dan mengendalikan restoran Korea.