Kejadian yang berlaku pada 2 Ogos lalu itu menyebabkan Muhammad Nabil Iman Safeie, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat sehingga kini tidak dapat ke sekolah dan perlu mendapatkan rawatan berterusan.

Lebih menyedihkan, doktor merawatnya menyatakan kecederaan di kaki kanannya itu merupakan kecederaan kekal yang boleh memberi kesan jangka panjang dan menjejaskan kualiti kehidupannya pada masa akan datang.

Muhammad Nabil Iman yang bercita-cita untuk menjadi seorang tentera laut mendakwa, semasa kejadian, dia sedang berjalan kaki ke kantin sekolah sebelum ditendang dan dipukul seorang pelajar lain dipercayai akibat salah faham.

“Saya terkejut apabila dipukul bertalu-talu dan hanya sempat melindungi bahagian kepala daripada ditendang sehingga tidak berdaya untuk bangun.

“Semasa dipukul, tiada sesiapa datang meleraikannya dan apabila terbaring barulah saya diangkat sebelum dibawa ke klinik berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Padang Luas di sini hari ini.

Dalam pada itu, bapa Muhammad Nabil Iman, Safeie Abdullah, 53, kesal dengan kejadian yang menimpa anak keempatnya itu apatah lagi ia berlaku di dalam kawasan sekolah.

Dia yang membuat laporan polis pada hari kejadian juga kecewa apabila pengurusan sekolah didakwa tidak memandang serius kejadian tersebut malah pelajar yang memukul anaknya itu juga tidak dikenakan apa-apa tindakan sehingga kini.

“Saya sedih kerana anak saya tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Hairunnisha Md. Yusof, 44, pula berasa terkilan kerana sehingga kini tiada seorang guru yang datang melawat anaknya selepas kejadian berkenaan.

“Tindakan perlu dilakukan bagi memastikan kejadian se­perti ini tidak berulang dan sebagai memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar lain supaya tidak sewenang-wenangnya bertindak memukul pelajar lain,” ujarnya.