Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lelaki berumur 26 tahun itu yang menetap di negara ini dengan menggunakan Pas Tanggungan ditahan bersama dua lagi lelaki termasuk seorang remaja lelaki berumur 13 tahun dan seorang perempuan warga Pakistan di sekitar Seri Gombak, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan itu merupakan adik beradik dan ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

“Turut ditemukan dalam serbuan yang dilakukan pukul 8 malam itu ialah cop keselamatan keluar masuk palsu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Selain itu, turut ditemukan ialah cop keselamatan Singapura, cop nama pegawai kanan imigresen, beberapa naskhah pasport antarabangsa, pelekat keselamatan dan salinan ‘special pass’ disyaki bagi tujuan pemalsuan selain sebuah motosikal turut disita,’’ katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Mustafar, sindiket tersebut yang aktif sejak tahun lalu sering menjalankan kegiat­annya di sekitar Lembah Klang dan telah mempunyai pelanggan tetap.

Katanya, suspek mengenakan caj RM200 bagi pelanggan yang ingin mendapatkan ‘special pass’ bagi tempoh 30 hari dan bayaran sebanyak RM100 bagi cop kes­e­lamatan keluar masuk pintu utama negara.

“Hasil siasatan awal mendapati cop keselamatan ini pada mulanya dimiliki oleh seorang suspek warga tempatan yang kemudiannya telah dijual kepada suspek tersebut dengan harga RM1,000 setiap satu.

‘‘Suspek ini juga dipercayai terlibat dengan rantaian aktiviti pemalsuan pelekat yang dikeluarkan Jabatan Imigresen. Sindiket ini juga mempunyai rangkaian pelanggan dari Pakistan, India, Filipina dan Nigeria berdasarkan pasport antarabangsa yang ditemukan,’’ katanya.

Mustafar berkata, suspek utama kes itu ditahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun tetapi tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap akan ditahan di Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.