Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 9 malam hingga 2 pagi itu, kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai pas perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, daripada keseluruhan tangkapan, 47 ialah Indonesia, Bangladesh (37), Nepal (2) dan masing-masing seorang dari Myanmar dan Pakistan.

“Lokasi pertama serbuan melibatkan kawasan kilang pembungkusan di Shah Alam dekat sini dan hampir kesemua PATI yang ditahan cuba menyembunyikan diri daripada diperiksa pegawai operasi.

“Lokasi kedua pula di penempatan pekerja di sebuah tapak pembinaan di Sungai Buloh, dekat sini juga menyaksikan beberapa PATI cuba melarikan diri sehingga sanggup meredah semak dan bersembunyi di dalam longkang sebelum ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Shukri, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor sebelum direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih, dekat sini.

Tambah beliau, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15 (1) (c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas. - UTUSAN ONLINE