Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 48 tahun adalah antara 40 warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula 11 pagi di premis kedai runcit, bengkel kereta dan gerai-gerai tepi jalan yang menggunakan pekerja asing.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 11 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, dua dari Myanmar serta seorang rakyat Sri Lanka dan antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki pas perjalanan sah serta tinggal lebih masa.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Mereka disiasat menurut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas dan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shukri memberitahu, operasi semalam juga mendapati ramai warga asing telah menyalahgunakan pas atau permit yang telah diberikan dengan bekerja di sektor berbeza.

Malah ujarnya, terdapat juga yang menggunakan Pas Lawatan (sosial) untuk melancong tetapi bekerja tanpa kebenaran.

“Kami memandang serius perkara ini dan majikan yang menggajikan warga asing ini akan turut diambil tindakan mengikut undang-undang termasuk mendakwa majikan di mahkamah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda dan turut dikenakan sebatan jika disabitkan,” tambahnya.- BERNAMA