Operasi yang bermula pukul 12.30 tengah hari semalam dan berakhir awal pagi kira-kira pukul 2.30 pagi itu menyasarkan premis makanan, kedai runcit dan kediaman setinggan di Klang, Petaling Jaya dan Batu Caves.


Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Shukri Nawi berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya telah memeriksa seramai 83 individu dan menahan 68 warga asing berusia dua hingga 53 tahun terdiri dari warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.


“Serbuan pertama dilakukan di sebuah restoran di Klang dan menahan lima individu merupakan pekerja premis tersebut. Manakala, serbuan kedua pula dilakukan di kedai runcit, syarikat penyelenggaraan dan premis makanan di sekitar Petaling Jaya berjaya menahan 31 individu. 


“Pada serbuan terakhir di Batu Caves di kawasan penempatan haram setinggan pula berjaya menahan seramai 32 orang warga asing. Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri sebelum direman selama 14 hari dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambah Mohamad Shukri, kesemua mereka disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas dan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.-UTUSAN ONLINE