Operasi disertai oleh 19 pegawai imigresen dari Jabatan Imigresen Negeri Selangor yang bermula pada pukul 4 petang hingga 2.30 pagi itu dijalankan hasil daripada aduan awam.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, daripada jumlah yang diperiksa, sebanyak 52 warga asing termasuk 14 wanita berusia antara 22 dan 55 tahun ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada pas atau permit kerja yang sah dan pas perjalanan tamat tempoh.

Menurutnya, pecahan warga asing yang ditahan adalah 17 warga Indonesia, Bangladesh (15), India (15), Nepal (2), Pakistan (2) dan Filipina (1).

“Kita menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing tersebut di sebuah gudang pakaian terpakai di Lembah Klang, restoran-restoran sekitar Bandar Saujana Putra dan rumah kedai di Shah Alam.

“Operasi ini adalah tindakan pantas pihak imigresen selepas mendapat aduan orang awam mengenai lambakan warga asing yang menyewa dan bekerja di premis-premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad Shukri memaklumkan, kesemua yang ditahan di Depot Imigresen Semenyih selepas mendapat perintah reman selama 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, pihak imigresen Selangor akan terus mempergiatkan operasi bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang termasuk mendakwa mereka di mahkamah. - UTUSAN ONLINE