Ahmad Zahid berkata, hasil maklumat Polis Bukit Aman mendapati kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh berkemungkinan mempunyai kaitan de­ngan perisikan negara luar yang mengesyaki beliau mempunyai saham dari segi sumbangan me­latih pelajar UniKL BMI atau menjadi liabiliti kepada negara yang bermusuhan dengan Palestin.

Menurut Ahmad Zahid, Dr. Fadi yang merupakan seorang pemastautin tetap dan telah me­netap lebih 10 tahun di negara ini, sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari ini untuk mengha­diri satu persidangan antarabangsa.

Tambah beliau, Dr. Fadi juga seorang bekas penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaya yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas.

“Saya turut berdukacita atas kematian Dr. Fadi ini, namun polis akan meneruskan siasatan dari semua sudut sehingga tertangkapnya dua lelaki Eropah yang menaiki motosikal BMW GS 1100 CC kerana melakukan perbuatan jenayah di negara ini.

“Kita sentiasa bekerjasama de­ngan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol bagi menjejaki penjenayah berkenaan. Kita juga berharap penjenayah ini akan dapat dikesan segera oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), oleh itu kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas me­rasmikan ba­ngunan GiatMara Ba­gan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang dekat sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman.