Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi dan mangsa ditikam semasa sedang membaca al-Quran di masjid berkenaan.

Mangsa yang berumur 37 tahun dan merupakan imam di surau Rantau Petronas Kerteh di Kemaman pulang ke kampung itu kerana menguruskan jenazah bapanya yang meninggal dunia dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mangsa yang sedang membaca al-Quran di ruang solat masjid itu tiba-tiba didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang kemudian bertindak menikamnya menggunakan objek tajam sebelum melarikan diri.

Difahamkan ketika kejadian terdapat dua jemaah lain sedang berehat di ruangan belakang masjid dan segera memberi bantuan selepas menyedari mangsa ditikam.

“Mangsa yang cedera di sebelah kiri dada dikejarkan ke Hospital Besut dan dirawat sebagai pesakit luar selepas menerima tujuh jahitan.

“Susulan laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, kita berjaya menahan suspek lelaki berumur 23 tahun tidak lama kemudian dan turut merampas pisau yang digunakan untuk menikam mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, siasatan mendapati suspek yang merupakan penganggur melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membaca al-Quran menggunakan pembesar suara yang dikatakan telah mengganggu tidurnya di rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari masjid tersebut.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan mencederakan orang.

Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE