Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagaimana dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, proses mengenal pasti mayat Jon-nam yang turut mempunyai identiti lain Kim Chol itu telah mengikut setiap prosedur forensik dan DNA diperlukan.

"Saya sekali lagi mengesahkan bahawa mayat itu adalah mayat Kim Jong-nam," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perkhidmatan KUL VIP Access yang ditawarkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan Wakil Tetap Korea Utara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kim In-ryong yang menafikan bahawa individu yang dibunuh di Malaysia adalah
Jon-nam.

Menurut Ahmad Zahid, buat ketika ini, perbincangan peringkat Ketua Setiausaha antara kerajaan Malaysia dengan Korea Utara sedang berjalan sejak Isnin lalu.

Katanya lagi, kerajaan juga memberi perhatian serius terhadap keselamatan sembilan rakyat Malaysia yang masih tersekat di Korea Utara. - UTUSAN ONLINE