Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, Mazlan Jikran berkata, ibu tunggal berumur 43 tahun yang mempunyai lapan orang anak itu ditahan bersama dengan teman lelakinya berumur 27 tahun, dua anak lelakinya masing-masing berumur 18 dan 24 tahun dan seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga rakan kepada anak lelaki ibu tunggal tersebut di sebuah rumah sewa di sini.

“Ketika serbuan dilakukan hanya ada lima orang penghuni dalam rumah sewa tersebut, kesemua positif dadah syabu, wanita itu seorang suri rumah manakala teman lelakinya bekerja sebagai buruh bersama dengan dua anak lelaki wanita itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini sambil menambah operasi tersebut adalah kerjasama AADK dan Rela.

Menurutnya, secara keseluruhan lapan individu ditahan melibatkan enam lelaki serta dua wanita berumur 18 hingga 43 tahun dalam operasi tersebut yang dijalankan di kawasan Taman Tunku, Taman Ceria Permyjaya Tudan serta Kampung Pujut Padang Kerbau dengan operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir pada pukul 12.30 pagi tadi.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah akan diperintahkan menjalani rawatan serta pemulihan di pusat pemulihan selama dua tahun atau di bawah perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun,” katanya lagi. - BERNAMA