HAMIDAH
HAMIDAH

Anak bongsunya, Noor Shairah Hussin, 17, menemukan mayat ibunya, Hamidah Abdul Rahman, 53, dalam keadaan berlumuran darah di bahagian belakang badan ketika ingin mengejutkannya daripada tidur kira-kira pukul 5.30 pagi.

Noor Shairah mendakwa, terdapat kesan terbakar pada kerusi meja solek dan langsir di bilik berkenaan selain mendapati kehila­ngan beg tangan, dompet, rantai, gelang emas dan cincin tunang milik ibunya.

“Mak sepatutnya sudah bangun pagi, tetapi apabila saya kejut, dia tidak me­nyahut. Lepas mandi, saya kejut balik tetapi tidak juga menyahut.

“Saya buka lampu, saya nampak emak sudah berlumuran darah, terbaring meniarap di atas katil dengan lu­ka di bahagi­an belakang. Ma­yatnya agak ti­dak berpakaian kerana saya rasa mak baru lepas mandi. Mungkin waktu itu dia kena (dibunuh),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa me­rupakan pembantu peniaga di sebuah pasar di sini baru sahaja melangsungkan pertunangan de­ngan seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 9 Mac lalu.

“Di rumah, hanya saya dan abang tinggal bersama mak. Namun, sewaktu kejadian, abang keluar bekerja di sebuah kedai serbaneka. Saya sedar mak ada keluar sekejap malam tadi dan pergi ke rumah kawan sebelum balik semula dalam pukul 12.30 tengah malam.

“Namun, waktu itu saya tidak keluar bilik kerana sudah mamai hendak tidur. Kali terakhir saya jumpa mak ketika pukul 6.30 petang semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Po­lis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati bilik ber­kenaan dalam keadaan berselerak dengan terdapat kesan darah di lantai dan dinding selain terdapat ke­san pecah di bahagian pintu masuk rumah dan pintu bilik tidur mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh pakar patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini me­ngesahkan terdapat bebe­rapa kesan tikaman di tubuh badan mangsa.

Sehubungan itu katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang berniaga di pasar sama dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.