Perkara itu diluahkan menerusi sekeping nota yang ditinggalkan dalam kotak yang mengandungi bayi malang tersebut sebelum ditemukan oleh seorang lelaki yang mendiami rumah berkenaan kira-kira pukul 2.15 pagi.

Malah nota terbabit yang dipercayai ditulis oleh ibu bayi ber­kenaan turut menyatakan permohonan maaf atas tindakannya itu.

“Tolong jangan bagi tahu dia, beritahulah dia yang makcik pak­cik adalah ibu kandung dia. Maaf sekali lagi.

“Saya tidak dapat jaga dia tapi saya sangat sayangkan dia. Maaf saya datang dari jauh, dengan harapan inginkan kebaikan kepada anak saya, biarkan dia hidup bahagia, janganlah bagi orang kutuk, hina dia anak haram, tolong jaga dia dan jangan bagi tahu orang luar selain keluarga,” catatan nota tersebut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata, berdasarkan keterangan lelaki berkenaan, ketika ditemukan bayi tersebut dibalut dengan kain langsir berwarna hijau yang diletakkan di tepi pasu bunga di hadapan rumahnya dalam keadaan menangis.

“Turut ditemukan di sisi bayi ialah sekeping nota yang tertulis agar pemilik rumah tersebut menjaga bayi itu, selain meminta perkara itu tidak dihebohkan dan bayi itu tidak dihina,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki tersebut kemudiannya menghubungi ambulans dan bayi itu dibawa ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan.

Jelas Razlam, pihak perubatan hospital menganggarkan bayi tersebut dilahirkan kira-kira dua jam sebelum ditinggalkan.

“Berdasarkan laporan doktor, bayi tersebut dianggarkan seberat 2.5 kilogram dan dilahirkan cukup bulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.