Berita tersebut dimaklumkan kira-kira pukul 6.30 petang hari ini kepada Rokiah Mohamad, 65, oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Binjai hari ini.

Rokiah berkata, dia amat bersyukur mendengar berita tersebut walaupun dia dimaklumkan Rahimi kini berada di sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan kerana terkena tembakan di bahagian rusuk.

‘‘Selepas mendapat berita mengenai insiden tersebut menerusi televisyen saya tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa keselamatan anak, cucu dan semua yang berada di masjid ketika itu.

‘‘Kini saya amat bersyukur kerana dimaklumkan bahawa dia selamat,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menerusi laporan nzherald.co.nz, Rahimi dipercayai berada dalam keadaan selamat selepas dipercayai terkena tembakan manakala, anak lelakinya, Ahmad Razif, 11, yang berada di luar masjid ketika insiden dise­lamatkan jemaah lain.

“Saya berharap agar ada pihak membantu kami untuk ke sana, saya tidak senang hati mengenangkan keadaan mereka.

“Rahimi menele­fon saya kelmarin memaklumkan isterinya, Nor Azila Abd. Wahid lulus dalam peperiksaan di Universiti Cantebury,” katanya.

Dalam pada itu, Azrul Mahathir berkata, beliau dan kerajaan negeri bersetuju untuk membantu membawa Rokiah dan seorang anak lelakinya ke Christchurch, esok.

“Difahamkan Rahimi telah menjalani pembedahan untuk membuang peluru tetapi satu lagi pembedahan akan dijalankan esok,” katanya.