FADZIL AHMAT
FADZIL AHMAT

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.

“Pihak polis meminta ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut tampil untuk menjernihkan keadaan dan merujuk isu kekeluargaan kepada pihak berkaitan.

“Orang ramai juga diminta menghentikan sebarang spekulasi dalam kes itu demi kebaikan kedua-dua kanak-kanak tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut bingung selepas masih tidak mendapat sebarang petunjuk berhubung kes tersebut.

Menurut Mohd. Saleem Mohammad Aslam, 31, dia juga mendapati tadika berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) menjadikan cubaan untuk memastikan siapa yang melarikan dua beradik tersebut lebih sukar.

Katanya, bekas isterinya yang juga warga New Zealand masih tidak dapat dikesan dan keluarganya juga menafikan wanita tersebut mengambil dua kanak-kanak terbabit.

“Laporan media banyak me­nunjukkan seolah-olah mereka dilarikan bekas isteri, namun sebenarnya sehingga kini maklumat itu belum dapat dipastikan.

“Memang guru tadika tempat mereka bersekolah memberitahu mereka diambil ibu kandung, namun keluarga pihak sana menafikannya, tambahan pula wanita tersebut langsung tidak pernah berhubung dengan kami sejak berpisah beberapa tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kanak-kanak terlibat, Raheel Khan, 6, dan Aleya Reyhana, 4, didakwa dilarikan oleh seorang wanita dan dua lelaki di sebuah tadika di Seksyen 16, Petaling Jaya dekat sini, Khamis lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din mengesahkan pihaknya sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan.