Wanita berusia 28 tahun bersama tiga lelaki masing-masing berusia 33, 22, 24 tahun yang menaiki kereta Proton Persona itu ditahan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah pada pukul 11.15 malam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kesemua suspek itu ditahan setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan dan dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pemeriksaan di dalam bonet kenderaan yang dinaiki mereka menjumpai 18 paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis methamphetamine seberat 94.65 gram.

“Pemeriksaan juga dilakukan ke atas wanita itu dan menemukan dua paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis sama seberat 1.77 gram dalam poket seluarnya.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua mereka mendapati positif dadah dan hanya lelaki berusia 24 tahun mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati kesemua suspek tiada talian persaudaraan dan mereka dalam perjalanan menjual dadah bernilai RM14,250 itu di kawasan Batu Gajah dan Teluk Intan.

Beliau berkata, dua anak perempuan suspek wanita itu yang berusia enam tahun dan 10 bulan diserahkan kepada abang kandungnya untuk jagaan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Kes terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE