Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi ketika mangsa, Maznah Mat Said, 47, dalam perjalanan menghantar dua anak lelakinya, Azie Yo, 13, dan Mohd. Haikal Yo, 11, ke sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Supe­rintenden Bingkok John berkata, tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu Maznah tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, rempuhan kuat menyebabkan kereta dinaiki tiga beranak itu remuk teruk di bahagian depan.

“Maznah bersama Mohd. Haikal yang berada di bahagian depan kenderaan mengalami cedera parah akibat tersepit, manakala Azie yang duduk di belakang berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, kesemua mang­sa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tambahnya, pemandu Toyota Wish yang terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii ketika dihubungi memberitahu, pihaknya yang me­nerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.56 pagi telah menghantar lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kemalangan.

“Anggota bomba telah menjalankan operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan dan kerja menyelamat itu selesai pada pukul 7 pagi,” katanya.