Ibu kanak-kanak terbabit, Nurhakimah Izzati Jaafar berkata, ketika kejadian dia ada urusan kerja lalu meminta bantuan adik iparnya untuk mengambil anaknya (Zydan).

“Semasa adik ipar sampai di taska untuk membawa pulang anak buahnya, tiba-tiba da­tang seorang wanita tidak dikenali turut mahu mengambilnya.

“Guru taska memaklumkan kepada wanita itu bahawa anak saya diambil oleh ibu saudaranya lalu wanita itu melihat telefon bimbit sambil memberitahu tersalah taska,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Nurhakimah, adik iparnya memberitahu wanita terbabit menaiki kereta Pero­dua Axia putih dalam keadaan mencurigakan.

“Keadaan dia mencurigakan dan membawa payung,” ujarnya sambil memberitahu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Semasa kejadian, Zydan (anak) sudah ada depan pintu tetapi dia (wanita terbabit) tetap tanya lagi di mana Zydan seolah-olah dia tidak tahu Zydan yang mana.

“Dia kata mahu ambil Zydan dengan seorang lagi kanak-kanak. Apabila dia lihat muka guru taska pelik, terus dia berhenti. Tidak sebut pun nama lagi seorang kanak-kanak yang dia mahu ambil,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supe­rintenden Noor Azmi Yusoff mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti wanita terbabit.