Brandi Worley, 31, membunuh anak lelakinya berusia tujuh tahun, Tyler dan anak perempuan berumur tiga tahun, Charlee di rumah mereka di Darlington, Indiana pada November 2016.

Selepas melakukan perbuatan itu, wanita itu bertindak menikam lehernya sendiri sebelum mendail nombor panggilan kecemasan 911 dan memberitahu operator:

“Saya baru menikam diri saya dan membunuh dua anak saya.”

Kejadian itu berlaku dua hari selepas suami Worley, Jason memberitahu dia mahu menceraikannya.

Ketika membuat panggilan kecemasan tersebut, wanita itu memberitahu dia tidak mahu suaminya mengambil anak-anak daripadanya dan disebabkan itu, dia membunuh mereka.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan menggambarkan bagaimana tertuduh memujuk Tyler masuk ke dalam bilik adiknya untuk tidur sebaik sahaja Jason turun ke tingkat bawah rumah untuk tidur di kediaman mereka.

Wanita itu menyerang Tyler terlebih dahulu dengan mencelapakinya sewaktu menusuk pisau ke badan kanak-kanak lelaki itu.

Perbuatannya itu menyebabkan anak perempuannya terjaga dan bertanya apa yang ibunya lakukan.

Menurut pihak pendakwaan, Worley membalasnya dengan kata-kata “Tiada apa-apa”.

Charlee kemudian kembali tidur, tanpa menyedari abangnya telah dibunuh. Ibunya kemudian menyerang kanak-kanak perempuan itu dengan menikamnya beberapa kali sebelum akhirnya menikam dirinya sendiri.

Senjata itu dibeli oleh Worley pada hari yang sama kejadian itu berlaku setelah memberitahu suaminya dia pergi ke kedai untuk membeli alat pencuci paip bagi projek seni anaknya.

Ketika kejadian, ibu kandung Worley juga berada di rumah yang sama dan jeritannya telah menyedarkan bapa kanak-kanak tersebut daripada tidur.

Sejurus selepas Jason berlari meluru ke tingkat atas dan menemukan mayat mereka, manakala isterinya pula dalam keadaan berdarah, wanita itu berkata: “Sekarang kamu tidak boleh mengambil anak-anak saya daripada saya.”

Jason dan sanak-saudaranya yang lain turut hadir semasa hukuman terhadap wanita itu dijatuhkan, namun Worley hanya duduk tanpa sebarang emosi sepanjang prosiding, menurut The Journal Review.

Jason turut memberi keterangan bagi menggambarkan dua anaknya itu.

“Bagi saya, kedua-dua anak ini adalah kehidupan saya,” katanya.

Dia memuji anak lelakinya yang disifatkan sebagai ‘sangat mengasihi orang lain dan begitu bertenaga’ selain berkata: “Dia merupakan kanak-kanak yang boleh masuk ke sebuah bilik yang penuh dengan orang yang tidak dikenali dan keluar semula dengan 20 rakan baharu.”

Peguam kepada wanita itu berkata, tertuduh tidak memberikan sebarang penjelasan mengapa dia melakukan pembunuhan itu.

“Hanya itu caranya dia berdepan dengan masalah itu pada saat ini. Dia tidak tahu mengapa dia melakukan perbuatan itu,” katanya.

Pihak pendakwaan tidak memohon hukuman mati tetapi menggesa hukuman penjara yang lebih lama, daripada jumlah 55 tahun yang disyorkan bagi setiap pembunuhan tersebut.

Worley kemudian dihukum penjara 65 tahun bagi tuduhan membunuh anak lelakinya, kurang 10 tahun daripada jumlah tersebut bagi tuduhan membunuh anak perempuannya.

Suaminya berkata, dia tidak mahu melihat isterinya itu bebas lagi.

“Apa yang saya inginkan ialah tidak mahu melihat dia (Worley) lagi. Sama ada di mata saya mahupun di minda saya,” katanya. – MailOnline